KONSEP MENULIS

Oleh Nur Ain Nabihah Binti Mohamad Noor




     Menulis ialah satu proses untuk menghasilkan bahan yang berbentuk idea, menterjemahkan fikiran, pendapat, pengalaman, perasaan dalam bentuk tulisan untuk tujuan komunikasi serta berhubung dengan khalayak atau dirinya. Kemahiran menulis atau mengarang merupakan salah satu kemahiran bahasa yang perlu dikuasai oleh setiap murid. Kemahiran menulis ini merupakan bentuk komunikasi yang penting dalam kehidupan harian.

    Mengarang merupakan suatu proses untuk menyampaikan buah fikiran, idea dan pendapat dengan tepat dan berkesan kepada pembaca. Kemahiran mengarang mempunyai hubungan yang erat dengan sistem bahasa Melayu.

   Kemahiran menulis mampu diperoleh jika murid mengetahui cara-cara yang mudah untuk menulis. Pengetahuan tentang teknik menulis ini dapat menjadi asas kepada murid-murid untuk menjelaskan sesuatu perkara dengan lebih baik.

    Antara aspek lain yang penting dalam memahirkan seseorang untuk menulis adalah seperti kemahiran berfikir secara kritikal terhadap sesuatu topik yang akan dikarang, semangat yang tinggi untuk berlatih menulis, membetulkan setiap kesalahan semasa latihan menulis, membaca dengan meluas merangkumi isu-isu semasa, dan memasukkan fakta yang sahih dan betul dalam elemen penulisan.  



Rujukan :
Amat Tarop Sumo et. al. (2016). Pengantar Bahasa Melayu. Petaling Jaya : Sasbadi Sdn. Bhd.

Comments