PROSES MENULIS

Oleh Nur Ain Nabihah Binti Mohamad Noor







      i.        Mengenal pasti audiens

     Setiap penulis hendakalah mengenal pasti audiens yang akan membaca hasil tulisannya. Audiens merupakan individu yang penting dan penulis perlu memenuhi kehendak dan keperluan mereka untuk membaca. Dalam konteks di dalam bilik darjah, audiens ialah rakan-rakan murid dan guru-gurunya yang akan membaca dan menilai karangan tersebut. Justeru, karangan haruslah bersesuaian dengan kehendak dan keperluan mereka sebagai audiens. Sebagai guru, mereka seharusnya mengetahui keperluan untuk murid-murid menghasilkan sebuah karangan yang baik dari segi kemahiran mengarang dan kemahiran sistem bahasa serta menepati kehendak-kehendak format yang ditentukan. Pengajaran guru haruslah dirancang berdasarkan kehendak, keperluan dan kemampuan audiens mereka.


    ii.        Mengenal pasti tujuan

   Antara tujuan menulis ialah untuk penilaian guru dalam peperiksaan, menyampaikan maklumat kepada orang lain, meningkatkan kemahiran mentalis, dan menyebabkan propaganda. Penghasilan penulisan akan menjadi lebih baik dan berkesan sekiranya penulis mengetahui tujuan sebenar mereka menulis. Selain itu, menulis juga memberikan ruang kepada orang ramai meluahkan perasaan. Seterusnya, terdapat juga setengah individu menulis untuk mempertahankan hujah bertujuan mengukuhkan pendapat dan idea yang diberi. Akhir sekali, menulis juga mempunyai kaitan dengan sesorang yang ingin menghasilkan cereka atau imaginasi. Berdasarkan tujuan penulisan ini, guru-guru juga dapat mengajar murid membuat pemilihan kosa kata yang sesuai dan tatabahasa yang betul supaya ayat yang digunakan mudah difahami. Guru-guru juga dapat membantu murid-murid mengolah ayat dengan berkesan, menggunakan format karangan yang betul, dan menggunakan gaya bahasa yang sesuai.  


   iii.        Mengaitkan isi dengan tajuk dan tujuan.

     Guru-guru perlu memastikan murid-murid mereka benar-benar memahami tajuk karangan. Penulisan memerlukan isi yang jelas, logic, relevan, dan menarik minat orang yang membaca. Isi harus diolah dan disampaikan dengan teratur, kemas, dan padat. Pemilihan dan pengolahan haruslah sesuai dengan tujuan penulisan. Memahami tajuk karangan dengan tepat dan mengetahui tujuan penulisan akan dapat membantu murid memilih teknik-teknik mengarang dan penggunaan kosa kata yang tepat serta format yang sesuai. Hasilnya, penulisan akan menyakinkan pembaca dan minat untuk membaca dalam kalangan masyarakat akan meningkat.


   iv.        Kemahiran koheran dan kohesi

   Setiap isi karangan mestilah bersifat koheran, iaitu mempunyai pertalian isi antara satu sama lain. Pertalian antara isi akan menampakkan satu pola atau keseluruhan karangan. Penyusunan isi harus mengikut keutamaan tanpa mengabaikan pertalian antara isi tersebut.
Kohesi merupakan unsur pertautan idea-idea utama yang didukung dengan huraian dan bukti, contoh, dan fakta sokongan yang jelas dan bernas serta mempunyai pertalian dengan pokok persoalan. Setiap penulisan sesuatu perenggan isi mestilah dalam lingkungan tema yang sama. Pengolahan isi karangan sedemikian lebih menyakinkan audiens dan dapat mengelakkan daripada penulisan isi karangan yang terpesong dan kabur.


    v.        Kemahiran pemerengganan

              Penyusunan perenggan amat penting dalam penulisan karangan. Perenggan pendahuluan yang sesuai dan menarik hendaklah ditulis terlebih dahulu. Perenggan pendahuluan ditulis menggunakan Bahasa yang tepat, padat, dan ekonomis. Perenggan pendahuluan merangkumi keseluruhan isi-isi karangan yang akan dihuraikan pada perenggan isi. Pendahuluan yang mereret-meleret akan membosankan pembaca. Isi penting pula perlu ditulis dalam perenggan berasingan mengikut keutamaan. Dalam setiap perenggan, isi perlu ditulis dengan padat dan berfokus mengikut tema. Setiap isi perlu didahulukan dengan ayat topik, iaitu ayat yang menggambarkan tema utama tersebut. Bukti dan contoh juga amat diperlukan dalam sebuah karangan bagi mengukuhkan isi karangan tersebut.


   vi.        Kemahiran kosa kata, sistem bahasa, dan gaya Bahasa

     Pemilihan kosa kata yang tepat dan bersesuaian amat penting dalam menghasilkan sebuah karangan yang baik. Pengetahuan tentang system Bahasa yang merangkumi tatabahasa, ragam Bahasa, dan gaya Bahasa yang bersesuain amat perlu untuk menghasilkan sebuah karangan yang menarik.


  vii.        Kemahiran aspek mekanis

Aspek-aspek kemahiran Bahasa yang perlu diambil kira semasa mengajarkan penulisan adalah seperti berikut:

1.    Tulisan tangan murid-murid mesti kemas dan mudah dibaca.
2.    Memastikan murid-murid tidak melakukan kesalahan ejaan.
3.    Memastikan murid-murid menggunakan tanda baca yang betul.



Rujukan :

Amat Tarop Sumo et. al. (2016). Pengantar Bahasa Melayu. Petaling Jaya : Sasbadi Sdn. Bhd.

Comments